Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang
ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku
menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu
dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima
wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang
berbunyi, “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi
menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau
lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau
terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah
engkau daripadanya.”
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun
keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama
dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu
kebingungan sambil berkata, “Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan.”
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke
bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya,
tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.
Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan
terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
‘Alhamdulillah’.
Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat
akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali
sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu
pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, “Aku telah
melaksanakan perintahmu.” Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa
disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari
tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba
dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil.
Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, “Wahai Nabi Allah,
tolonglah aku.”
Mendengar rayuan burung itu, hatinya
merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau
patahkan harapanku dari rezekiku.”
Nabi itu teringatkan pesanan arahan
dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia
menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia
membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya.
Tidak lama kemudian dia bertemu dengan
satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, “Ya Allah,
aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di
dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh
Allah S.W.T. bahwa, “Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan
dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih
manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi),
walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika
sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi
membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk
itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini
hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini
sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang
tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang
menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita
ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala
kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang
hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”
Maka berkata Allah S.W.T., “Ini adalah
pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.” Dengan ini haruslah
kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi
kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu,
hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
0 komentar:
Posting Komentar